Dua terselamat manakala seorang remaja dikhuatiri hilang di laut dalam kejadian lemas di muara Pantai Senok, di sini malam ini.

Dalam kejadian jam 8.06 malam Rabu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tiga mangsa lemas termasuk seorang bapa dan anak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Yus Heary Mahmud berkata, mangsa yang selamat ialah Ismail Harun, 45 dan Nazizul Mubin Rosli, 15 yang diselamatkan orang awam.

Manakala anak Ismail, Aizat Safuan Ismail, 19 masih hilang dan operasi mencari mangsa dimulakan sebaik tiba di lokasi.

"Menurut maklumat awal, ketiga-tiga mereka datang ke pantai petang tadi untuk menjala sebelum dibawa arus.

"Ismail berjaya diselamatkan Nazizul namun gagal menarik keluar anaknya, Aizat yang dihanyutkan arus," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang selamat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan.

Meskipun tidak mengalami kecederaan namun mereka masih berada dalam keadaan trauma.

Katanya, Ismail dan Aizat yang beralamat di Pulau Melaka dipercayai datang ke pantai petang tadi untuk menjala ikan bersama rakan Aizat, Nazizul yang berasal dari Kulim, Kedah.

Yus berkata, dia mengetuai operasi mencari mangsa bersama lapan anggota dan satu jentera dan operasi diteruskan dengan kaedah mencari di dasar sehingga mangsa ditemui.