Hasrat dua sepupu meluangkan cuti hujung minggu berakhir tragedi apabila mereka berdua meninggal dunia dalam kejadian lemas di sebuah kolam ikan di Kampung Mujur, Jelawat, pada Jumaat.

Mangsa, Mohamad Aiman Farhan Zunaidi, 14 dan sepupunya, Nor Haslinda Mohamad Zawavi@Zawawi dipercayai ke kolam itu untuk menangkap anak udang untuk memancing bersama beberapa sepupu mereka yang lain.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pada jam 1.50 petang, adik kepada Mohamad Aiman pulang ke rumah dan memaklumkan kepada keluarga bahawa kedua-dua mereka telah lemas.

Katanya, ahli keluarga terus ke lokasi kejadian dan cuba mencari mangsa namun gagal.

"Mereka mendapatkan bantuan penduduk kampung dan mayat keduanya ditemui 40 minit kemudian.

"Kedua-dua mereka ditemui meninggal dunia dan dibawa ke hospital untuk tujuan bedah siasat," katanya ketika dihubungi, di sini.

Nik Aminuddin berkata, mayat mereka dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

"Bedah siasat ke atas mereka masih dijalankan dan selepas proses selesai, jenazah akan diserahkan kepada keluarga," katanya.

Difahamkan Allahyarham Mohamad Aiman adalah pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Mahmud Paduka Raja, Tanah Merah manakala sepupunya, Nor Haslinda merupakan murid darjah enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Seneng, Jelawat, Bachok.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bachok, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohd Huzaimy Che Hussein turut melawat keluarga mangsa.