Dua suri rumah, masing-masing berumur 27 dan 54 tahun di Perak, meninggal dunia akibat denggi minggu lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat denggi di seluruh negara setakat ini ialah enam kes.

Dua kes terbaharu dicatat dalam tempoh 5 hingga 12 Jan.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, kedua-dua mangsa mengalami demam, sakit kepala, sakit sendi dan muntah sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi selepas keadaan mereka kritikal.

"Kedua-dua pesakit itu bagaimanapun meninggal dunia akibat komplikasi 'severe dengue," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut sejumlah 1,946 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 5 hingga 12 Jan, meningkat 907 kes (87.3 peratus) berbanding 1,039 kes pada minggu sebelumnya.

Lebih 680 lokaliti wabak denggi dipantau di seluruh negara dengan wabak itu berlaku di 11 negeri merangkumi 480 kawasan di Selangor dan 62 kasawan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Lokaliti lain ialah 45 di Negeri Sembilan, Johor (42), Perak (29), masing-masing lapan di Pulau Pinang serta Melaka, Sarawak (6), Sabah (2) dan masing-masing satu di Kedah dan Kelantan.