Polis menembak mati dua penjenayah dikenali sebagai ‘geng tebuk’ yang cuba melakukan samun dan pecah masuk di sebuah pasar raya di Taman Bandar Baru Sungai Udang, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, dalam kejadian sekitar 4.30 pagi tadi, seorang lagi suspek berjaya melarikan diri.

Menuurtnya, maklumat awam, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyedari sebuah kenderaan jenis Honda City berwarna perak yang digunakan suspek, berada dalam keadaan mencurigakan di tepi sebuah pasar raya di Sungai Udang.

Pemeriksaan di sekitar kawasan berkenaan mendapati ketiga-tiga suspek sedang cuba memecah masuk pasar raya berkenaan.

“Ketika memperkenalkan diri sebelum seorang daripada suspek bertindak melarikan diri manakala seorang lagi dilaporkan terlebih dahulu melepaskan dua das tembakan ke arah polis dan seorang lain cuba melibat parang panjang.

“Kita mengesyaki mereka merupakan warga asing ini dalam proses menceroboh sebuah premis yang menyimpan barang berharga.

“Polis cuba mengejar dan mengepung suspek dan memperkenalkan diri meminta mereka menyerah diri sebelum suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan manakala seorang melibas parang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, di Ayer Keroh, hari ini.
Abd Jalil menambah, polis giat memburu seorang suspek yang masih bebas dipercayai masih berada di Sungai Udang.

Katanya, tiga suspek itu dipercayai terlibat sekurang-kurangnya 14 kes tebuk (pecah masuk premis) perniagaan kedai emas di Nilai, Negeri Sembilan, Gebeng (pahang), Alor Gajah (Melaka), Lembah Klang dan Terengganu.

“Modus operandi yang digunakan ialah memotong serta menebuk dinding dalam pasar raya untuk merompak kedai emas pada waktu malam sekitar jam 11 malam hingga jam 7 pagi ketika pasar raya ditutup,” katanya.

“Ketiga-tiga suspek juga turut mempunyai persamaan iaitu memakai baju lengan pendek berwarna putih, seluar pendek, berkasut sukan, memakai topeng ski dan menyarungkan beg galas.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kereta digunakan suspek juga dipercayai kenderaan curi di Johor Jaya, Johor pada 2016, manakala polis turut merampas beberapa senjata termasuk sepucuk pistol jenis revolver, sebilah parang panjang, pemotong besi bersama dua bilah mata pemotong yang sudah digunakan serta kuku kambing.

Sehubungan itu, polis percaya sebanyak 14 kes berjaya diselesaikan dengan nilai kerugian mencecah RM1 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.