Dua suspek wanita yang disiasat berhubung kes kematian abang pemimpin utama Korea Utara, Kim Jong-nam akan dituduh di Mahkamah Majistret Sepang, esok, lapor Utusan Online.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilaporkan mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Mohamed Apandi berkata, pihaknya telah menerima kertas siasatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), baru-baru ini.

"Ya, kami telah terima kertas siasatan dan suspek akan didakwa esok," katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Tempoh reman kedua-dua wanita terbabit iaitu warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietman, Doan thi Huong, 28, akan berakhir esok.

Mereka direman selama 13 hari bagi membantu siasatan berhubung kes kematian Jong-nam yang dipercayai dibunuh di KLIA2, 13 Februari lalu.