Dua suspek kes penipuan pekerjaan yang melibatkan lapan rakyat Sarawak di Liberia dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Sibu hari ini bagi mendapatkan permohonan reman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah mendedahkan, ia bagi membolehkan proses siasatan lanjut dijalankan.

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 53 dan 60 tahun itu dibawa ke mahkamah pada 9.30 pagi ini.

Kes tersebut, katanya, akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Terdahulu, hasil kecekapan polis berjaya menahan dua suspek yang dipercayai terlibat kes tersebut pada sekitar jam 10 pagi Selasa di dua lokasi berasingan di sini.

Ia susulan laporan terdahulu dibuat oleh salah seorang mangsa pada sekitar jam 8.30 pagi.

"Siasatan kita mendapati, dalam bulan Disember 2018 itu, mangsa-mangsa telah menerima pesanan WeChat daripada seorang lelaki yang telahpun dikenal pasti, kerana mereka telah berdepan.

"Kemudiannya, mereka ini diyakinkan bahawa ada pekerjaan oleh syarikat pembalakan di Liberia itu, dengan gaji RM8,000 sebulan, makan minum, pengangkutan, permit kerja disediakan.

"Jadi, oleh kerana percaya dengan perkara ini, kelapan-lapan orang ini tadi, dengan dibawa oleh salah seorang suspek telah pergi ke Liberia," kata Mustafa Kamal.

BACA: Kes sindiket tipu pekerjaan Kemboja: Suspek warga Malaysia ditangkap

Kes penipuan pekerjaan melibatkan lapan rakyat Sarawak itu terbongkar apabila kesemua mangsa ditinggalkan terkandas di Monrovia, Liberia sejak 3 Januari lalu.

Menurut Kementerian Luar, semua rakyat Malaysia ditipu sindiket pekerjaan tempatan itu berasal dari Sarawak yang berusia antara 39 dan 66 tahun.

Selepas mendapat dokumentasi diperlukan serta kelulusan daripada pihak berkuasa Liberia, kesemua mangsa berlepas ke Kuala Lumpur pada Isnin bersama Duta Khas daripada Kementerian Luar.

Semua mangsa selamat tiba di Lapangan Terbang Sibu malam tadi.