Polis menahan dua individu termasuk seorang wanita warga Indonesia bagi membantu siasatan berhubung kejadian mayat seorang lelaki ditemukan dalam longkang di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Jelawat 2, Seberang Jaya, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata wanita berusia 40-an dan lelaki berumur 36 tahun itu ditahan secara berasingan di Seberang Jaya dan Permatang Pauh.

"Mereka ditahan tengah malam tadi dan awal pagi ini (Isnin), polis percaya penahanan dua individu itu akan membantu menyelesaikan kes bunuh berkenaan," katanya di sini semalam.

Beliau berkata wanita Indonesia itu merupakan pekerja kepada seorang lagi lelaki berusia 33 tahun yang ditahan pada Ahad manakala lelaki 36 tahun yang ditahan itu merupakan rakan kepada mangsa.

Nik Ros Azhan berkata berdasarkan siasatan, suspek pertama yang ditahan mengaku telah menikam mangsa dengan pisau yang dibawanya ketika sedang bergelut dengan lelaki berkenaan serta rakannya semasa kejadian.

Beliau berkata laporan bedah siasat mendapati mangsa mati disebabkan tikaman dengan benda tajam di dadanya dan ketiga-tiga individu yang ditahan itu kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan

Mayat lelaki dikenali sebagai S. Prince Jevadurai, 30, itu ditemukan dalam longkang oleh orang awam dengan beberapa kesan kecederaan di kepala, dada dan tangan pada pukul 6.35 petang.

Susulan penemuan mayat itu, polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan selepas dia membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

-- BERNAMA