Dua wanita dari Kampung Segong, Bau, Sarawak kesal tidak sudah apabila bakal berhadapan hukuman gantung sampai mati selepas ditangkap memiliki dadah bernilai RM10,000.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Sabri Zainol berkata, kedua-dua mereka ditahan dalam serbuan sekitar jam 10 malam Rabu di kampung terbabit.

Turut dirampas daripada suspek yang masing-masing berumur 20 dan 47 tahun ini ialah dadah jenis syabu seberat 50.81 gram yang telah dipaketkan.

"Jadi anggaran keseluruhan itu adalah 50.81 gram ini anggaran berat kasar. Semua suspek ditangkap dan merampas semua barang kes untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 39B akta dadah berbahaya 1952," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Jumaat.

Sabri berkata, pihaknya percaya dadah itu adalah untuk pasaran daerah Bau dan ini merupakan kes rampasan dadah terbesar selain pertama bagi daerah tersebut tahun ini.

Beliau berkata, polis sedang mengesan seorang lelaki yang juga anak kepada suspek wanita berusia 47 tahun itu untuk membantu siasatan.

Polis turut menyita lapan barang milik suspek yang bernilai RM108,050 termasuk dua buah kereta jenis Toyota dan barang kemas.

Kes disiasat di bawah seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.