Dua warga Bangladesh maut selepas van kilang yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 121 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 4.45 petang itu mangsa, Hossain Forhad, 36, dan seorang lagi yang belum dikenal pasti identitinya maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan badan.

Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Superitendan Zundin Mahmood, van terbabit dipandu warga tempatan bersama tujuh penumpang lain warga Bangladesh dan menuju ke arah Kuantan dari Kuala Lumpur.

"Pemandu berkenaan dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri lebuh raya. Ia mengakibatkan dua penumpang berkenaan maut serta merta di tempat kejadian.

“Pemandu dan penumpang lain yang cedera dibawa keluar selepas terperangkap dalam kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di sini untuk proses bedah siasat.

Pihak polis akan mengambil sampel darah dan air kencing pemandu untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.