Seorang janda bersama pasangannya yang berstatus duda didenda RM2,900 oleh Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, hari ini, selepas mengaku salah melakukan perbuatan persediaan persetubuhan luar nikah.

Pasangan yang masing-masing berusia 34 dan 30 tahun itu turut berdepan hukuman lima bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Syarie membuat keputusan itu selepas kedua-duanya mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Mengikut pertuduhan, wanita yang tidak bekerja itu bersama pasangannya, seorang pengawal keselamatan didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah bilik di rumah tumpangan di Jalan Tok Lam, di sini.

Pasangan yang berasal dari Marang itu didakwa melakukan kesalahan terbabit, kira-kira jam 11.40 malam, pada 7 Januari lalu.

Dengan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Khairulhaja Mustafa.

Berdasarkan fakta kes, semasa serbuan dilakukan, didapati keadaan pintu bilik utama tertutup dan berkunci sebelum diketuk beberapa kali serta memberi salam.

Kemudian, pintu dibuka oleh seorang perempuan yang memakai baju kemeja lengan panjang dan hanya bertuala.

Pemeriksaan seterusnya di dalam bilik mendapati terdapat seorang lelaki yang memakai tuala sahaja berada di tepi katil.

Siasatan mendapati hanya mereka berdua berada di dalam bilik tersebut dan bukan pasangan suami isteri yang sah.