Menteri Kanan merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof meminta pelajar Sarawak di Semenanjung untuk terus berada dalam kampus atau kediaman masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Ia susulan isu pelajar Sarawak terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 selepas gagal mendapatkan tiket penerbangan pulang.

Fadillah menegaskan, semua pelajar Sarawak yang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam Kuala Lumpur dan Selangor dikehendaki balik ke kampus atau kediaman masing-masing dan perlu melapor diri kepada pihak pentadbiran IPT.

“Sila kekal berada di dalam kampus atau kediaman masing-masing sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan sehingga 31 Mac,” jelasnya menerusi satu hantaran di Facebook.

Hantaran Facebook Fadillah yang menggesa pelajar Sarawak di Semenanjung untuk kekal di kampus atau kediaman masing-masing

Bagi pelajar Sarawak yang belajar di IPT luar Kuala Lumpur dan Selangor, serta berada di KLIA atau KLIA2, dikehendaki melapor diri kepada Sekretariat Sarawak Volunteers dan Rumah Sarawak jika tidak dapat penerbangan balik ke Sarawak.

Beliau turut meminta mereka yang sudah ada tiket penerbangan agar menangguhkan hasrat kembali ke Sarawak demi keselamatan bersama.