Pernah belajar, bekerja dan menetap di Kuala Lumpur, tetapi akhirnya memilih untuk pulang ke kampung halaman.

Benar, ini kisah paling biasa dikongsi.

Kisah ini juga diceritakan seorang pemuda yang penulis temui di Pasar Siti Khatijah tempoh hari.

Mohd Taufik Amri menongkah arus kelaziman belia yang berhijrah ke kota besar untuk mencari peluang kerja yang lebih baik.

Sebaliknya, jejaka periang berusia 24 tahun ini memilih untuk pulang ke kampung kerana ada alasan untuk kelangsungan hidup lebih baik.

"Ye kak, sayo nok nikoh, sipe pitih sikit-sikit hasil jual beras, di sini buleh sipe pitih, dok denu (Kuala Lumpur) tok leh sipe duit langsung (Saya nak kahwin kak, simpan duit sikit-sikit hasil jualan beras, di sini boleh simpan duit, kalau kerja di Kuala Lumpur, langsung tak boleh simpan duit)," cerita Mohd Taufik terus-terang kepada penulis.

Mohd Taufik mewarisi perniagaan menjual beras selepas pemergian neneknya.

Rasa tanggungjawab menyebabkan dia sanggup melepaskan keseronokan tinggal di kota besar demi untuk keluarga.
Mohd Taufik mewarisi perniagaan menjual beras selepas pemergian neneknya. - Astro AWANI

Tetapi, dia sedikit pun tiada rasa sesal kerana baginya, kos sara hidup yang tinggi di bandar menyebabkan dia banyak kekangan.

Dengan gaji mekanik sekitar RM2,000, banyak kos perlu ditanggung.

Sewa bilik, duit petrol, makan minum, dan segala keperluan hingga ada masa baki hasil keringat itu bersisa sedikit.

"Gaji meme besar kak, tapi gak, kos hidup tu tinggi bedooh, bayar itu ini, dok de sipe gapo pun (Gaji memang besar, tetapi kos hidup terlalu tinggi, bayar itu ini, tak sempat nak buat simpanan)," Mohd Taufik mengenang kisah lampau.

Dengan kekangan kewangan, anak muda ini tidak tergamak pula mahu berteman.

Mohd Taufik bersyukur tinggal di kampung, bekerja sendiri dengan menjual beras dan tinggal di rumah keluarga, tiada sewa rumah perlu dijelaskan. Astro AWANI

Di kampung, Mohd Taufik berkata, urusannya tidak sesulit mana.

Bekerja sendiri dengan menjual beras, tinggal di rumah keluarga, tidak perlu membayar sewa.

Kos makan pun tidak sebesar mana.

Jadi, urusannya untuk ke fasa hidup berikutnya menjadi lebih mudah.

Kalau orang lain merungut kos hidup di kampung pun semakin meningkat, Mohd Taufik pula meluah rasa syukur.

Kos itu masih munasabah berbanding apa yang dialaminya dulu, katanya.

Semuanya berbalik kepada rezeki dan penerimaan masing-masing, tambahnya lagi.

Tabungan untuk 'nikoh' sudah ada, akuinya, cuma menunggu bertemu calon sesuai.