Susulan hujan lebat yang turun sejak petang Selasa, 18 rumah di empat kampung dalam dua daerah di negeri ini dinaiki air sedalam 0.5 meter dalam kejadian banjir kilat yang turut menyaksikan penduduk dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS).

Menurut Pegawai Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah, dalam kejadian di daerah Baling, tiga kampung telah terjejas.

Enam buah rumah di Kampung Bandar Buah dan empat buah rumah di Kampung Banggol Derom dinaiki air sejak jam 8 malam.

Sebuah lagi kampung yang turut terjejas ialah Kampung Banggol, di mana ketika ini APM sedang melakukan bancian dan pemantauan bagi mengetahui jumlah mangsa yang terbabit.

Saifuddin berkata, setakat ini 10 keluarga dipindahkan ke PPS di Surau Kampung Banggol Sedang, Mukim Pulai.

Sementara itu, di daerah Kubang Pasu, lapan rumah penduduk di Kampung Nang Mah ditenggelami air sedalam 0.3 hingga 0.5 meter dalam kejadian banjir kilat berikutan hujan lebat selama tiga jam sejak petang Selasa.

Ia melibatkan seramai 32 mangsa yang terdiri daripada 16 dewasa dan 16 kanak-kanak.

Air dari Sungai Laka dan Temin dikatakan melimpah jam 7.30 pagi ini menyebabkan sebahagian penduduk yang tinggal berhampiran sungai di kampung itu tidak sempat memindahkan barang-barang di dalam rumah mereka.

Saifuddin berkata, pihaknya melakukan pemantauan di lokasi banjir berkenaan sejurus menerima maklumat berhubung kejadian itu.

Ketika ini, katanya, anggota sedang melakukan pemantauan di lokasi itu kerana dibimbangi hujan lebat akan turun petang ini, mengakibatkan mangsa terpaksa dipindahkan.

Saifuddin berkata, operasi disertai lima anggota dari APM Daerah Kubang Pasu.