Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoal cadangan pelaksanaan beberapa dasar oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Soal Ahli Parlimen Pekan, dalam era Malaysia Baharu ini, adakah kerajaan akan melaksanakan kembali dasar-dasar lama kerajaan terdahulu.

Malah, beliau berpandangan cadangan pelaksanaan semula beberapa dasar lama bertetangan dengan penubuhan Parti Keadilan Rakyat (dahulu Parti Keadilan Nasional).

"Apakah Malaysia baharu ini kembali ke zaman dahulu (dengan pelaksanaan) dasar-dasar dahulu? Yang mana parti PKR ditubuhkan untuk menolak dasar-dasar dahulu.

"Dasar seperti memberi gaji lebih rendah kepada kakitangan awam, kembali kepada dasar menambahkan kereta atas jalan raya daripada memberi tumpuan kepada pengangkutan awam, dasar menambah subsidi dan sebagainya, dasar balik (pelaksanaan semula) ke Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

"Saya nak bagi tahu Tuan Yang Dipertua, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bila sudah mansuhkan, harga sudah stabil. Apabila (pelaksanaan SST) 1 September ini, pasti berlaku satu lagi pusingan kenaikan harga," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Kenyataan itu menyebabkan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan berdiri untuk mencelah dan mengajukan soalan.

Bagaimanapun, Najib enggan memberi laluan selain menggunakan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 37(1) untuk tidak memberi laluan kepada mana-mana Ahli Parlimen untuk mencelah.