Mangsa keganasan rumah tangga pada masa kini bukan lagi isteri tetapi suami.

Statistik polis menunjukkan bahawa angka suami didera oleh isteri semakin meningkat setiap tahun iaitu dari 650 kes pada tahun 2010 ke 815 kes pada tahun 2011 dan 930 kes pada tahun lepas.

Menurut laporan akhbar The Malay Mail, Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (HELWA) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Fadlina Siddiq berkata suami sering diserang dengan kayu golf, mop, penyapu, malah ditampar oleh isteri mereka.

Beliau turut berkata sesetengah suami pula mengalami penderaan mental apabila isteri merajuk dan tidak bercakap berbulan-bulan lamanya atau tidak mengadakan hubungan intim untuk tempoh yang lama.

“Kami pernah beri kaunseling kepada beberapa kanak-kanak yang mengaku bahawa ibu mereka selalu mendera bapa mereka,” kata beliau.

Walau bagaimanapun, statistik itu turut menunjukkan bahawa angka isteri yang didera, iaitu 72 peratus, masih lagi lebih tinggi daripada angka suami yang didera, iaitu 28 peratus.

Laporan itu turut memetik kata-kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim, yang berkata suami yang didera isteri harus mendapatkan bantuan seperti kaunseling.

“Setakat ini ada beberapa mangsa lelaki yang berusia di antara 30 ke 40 tahun, yang sedang mendapatkan bantuan kaunseling dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Beliau turut berkata Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bukan sahaja terhad kepada wanita tetapi boleh melindungi lelaki juga.