Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak ketika dihubungi Astro AWANI berkata, pihaknya perlu menunggu pemakluman rasmi sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat pihaknya.

"Kami masih belum terima pemakluman rasmi dari Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah.

"Selepas pemakluman rasmi, kami akan mengadakan mesyuarat dan akan menentukan perjalanan proses pilihan raya," katanya ringkas.

Menurut beliau, kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh SPR selepas pemakluman rasmi tersebut diterima pihaknya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam sidang media hari ini mengumumkan pembubaran DUN Sabah.

Katanya, pembubaran DUN Sabah itu telah mendapat perakuan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau berkata, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam jangka masa 60 hari dan beliau akan terus menjadi Ketua Menteri Sabah sementara (caretaker).