Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis meluluskan pindaan bagi dua Rang Undang-Undang berkaitan Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah 2004 dan Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

Kedua-dua pindaan itu dibentangkan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Mokhtar dan diluluskan oleh Speaker DUN Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali selepas bacaan kali ketiga.

Aidi dalam ucapan pembentangannya berkata Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (Pindaan) 2019 dan Enakmen Mahkamah Syariah (Pindaan) 2019 itu akan mula berkuat kuasa pada 20 Mei 2019.

Beliau berkata Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (Pindaan) 2019 adalah selari dengan hasrat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk mempelbagaikan dan memperkasa struktur organisasi serta aktivitinya dalam bidang ekonomi dan sosial khususnya bagi orang Islam.

Pindaan itu juga akan membolehkan pengurusan dan pentadbiran MUIS dikendalikan dengan lebih licin dan berkesan, katanya berucap membentangkan RUU itu, di sini.

Bagi Enakmen Mahkamah Syariah (Pindaan) 2019, Aidi berkata, pindaan itu dibuat bertujuan mengawal penerimaan masuk peguam-peguam syarie beramal di Sabah bagi mewakili mana-mana pihak dalam apa-apa prosiding di Mahkamah Syariah.

Selain itu, pindaan berkenaan juga bertujuan mengawal penerimaan masuk peguam-peguam syarie yang bukan berasal dari Sabah hanya untuk kes-kes tertentu sahaja mengikut budi bicara Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah, katanya. -- Bernama