Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (Pindaan 2018) yang antara lain menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam dari 16 ke 18 tahun di Selangor.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim mengumumkan kelulusan RUU itu selepas disokong sebulat suara anggota DUN.

Sebelum ini, Seksyen 8 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 telah menetapkan bahawa umur minimum perkahwinan bagi lelaki Islam adalah tidak kurang daripada 18 tahun manakala bagi perempuan Islam adalah tidak kurang daripada 16 tahun.

Menteri Besar, Amirudin Shari ketika membentangkan usul tersebut, berkata RUU itu juga diperkemaskan supaya perkahwinan kanak-kanak perempuan di bawah umur 18 tahun, tidak bercanggah dengan hukum syarak selain menjaga kebajikan mereka.

Beliau berkata peruntukan itu juga selaras dengan tafsiran 'kanak-kanak' di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang memperuntukan bahawa kanak-kanak ialah seorang berumur di bawah 18 tahun.

"Selangor memandang serius isu perkahwinan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun dengan seorang lelaki berusia 41 yang berlaku di Selatan Thailand baru-baru ini.

"Susulan itu, Sultan Selangor menitahkan MAIS (Majlis Agama Islam Selangor) mengkaji had minimum perkahwinan orang Islam di Selangor dengan memperkemaskan tatacara permohonan," katanya.

Amirudin berkata RUU itu memperuntukkan agar permohonan perkahwinan di bawah umur 18 tahun, perlu mendapatkan kebenaran daripada Hakim Mahkamah Syariah di negeri ini.

Katanya, RUU itu juga memperuntukan keperluan bagi ibu atau bapa atau penjaga, bertindak sebagai pemohon bagi pihak kanak-kanak bawah umur minimum, hendaklah menyertakan suatu afidavit.

"Semasa pendengaran permohonan tersebut hakim syarie akan mengarahkan kanak-kanak tersebut menjalani sesi kaunseling dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM)," katanya.

Dalam istiadat perasmian DUN Selangor Isnin lepas, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan dengan cadangan MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan wanita daripada 16 kepada 18 tahun.

Sultan Selangor bertitah baginda memandang serius kes-kes melibatkan perkahwinan kanak-kanak Islam pada usia yang terlalu muda, terutama kanak-kanak perempuan kerana bimbang tentang risiko kemudaratan masa depan pasangan terbabit dan kesannya kepada masyarakat kelak.

Persidangan dewan itu kemudian ditangguh pada satu tarikh yang ditetapkan.

-- BERNAMA