Pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Adenan Satem akan dibuat selepas tempoh berkabung berakhir.

Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata satu sidang media akan dibuat berhubung perkara itu sebelum surat pemakluman diserahkan.

"Apabila masa berkabung itu selesai, baru kita adakan sidang media untuk mengisytiharkan ada kekosongan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelantikan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebagai Ketua Menteri baharu Sarawak di Astana Negeri, Petra Jaya pada Jumaat.

Adenan adalah penyandang kerusi Tanjong Datu sejak Pilihan Raya Negeri 2006.

Adenan yang menjadi ketua menteri hampir tiga tahun meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Kota Samarahan, dekat sini pada Rabu.

Kerajaan negeri mengumumkan tempoh berkabung selama tujuh hari mulai Rabu hingga Selasa depan. --- Bernama