Kejayaan pihak berkuasa baru-baru ini dalam menahan suspek pengganas dan penyokong Daish, mendapat pujian Duta Arab Saudi Fahad Abdullah Al-Rashid, yang berpendapat bahawa dalam hal ini, Malaysia boleh menyumbang kepada Pakatan 34 negara Islam memerangi keganasan yang diterajui Arab Saudi.

Duta di Malaysia itu berkata Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang penting dan maju bukan sahaja daripada aspek ketenteraan tetapi juga risikan.

"Kekuatan Malaysia dalam unit risikannya sangat dialu-alukan dalam pakatan ini," katanya kepada Bernama dalam wawancara baru-baru ini.

Bercakap menerusi seorang jurubahasa, Al-Rashid berkata setiap anggota pakatan akan mengambil bahagian dan memberi sumbangan dalam pelbagai cara, bergantung kepada keupayaan serta kepakaran setiap negara.

Pada Disember tahun lepas, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, memberitahu media bahawa penyertaan Malaysia dalam pakatan itu terhad kepada perkongsian maklumat dan bukannya operasi ketenteraan.

Al-Rashid berkata bilik operasi di Riyadh, Arab Saudi akan membantu menghapuskan sebarang kekangan yang mungkin wujud di kalangan negara anggota, antaranya faktor jarak dan logistik.

Menurut perancangan awal, setiap negara akan mempunyai wakil di Riyadh bagi memudahkan komunikasi.

Pakatan itu, yang diumumkan oleh Menteri Pertahanan Arab Saudi Mohammad Salman Al Saud pada Disember tahun lepas, turut dianggotai Mesir, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu, Turki, Pakistan dan Afrika.

Dalam perkembangan lain, duta itu berkata penggunaan Daish bagi mengenal pasti kumpulan pengganas, yang juga dikenali sebagai kumpulan militan IS tidak membantu dalam mengasingkan kumpulan itu daripada agama Islam.

"Ia seperti sekeping duit syiling, dengan mempunyai dua muka. Tak kisahlah apa yang anda panggil, mereka tetap satu dan sama.

"Apa yang lebih penting adalah umat Islam berusaha bersama-sama memerangi untuk menunjukkan bahawa kita tidak bersetuju dengan kumpulan ini dan ia dapat dilakukan menerusi pakatan 34 negara," katanya.