Duta China ke Malaysia Bai Tian menemui ahli Majlis Penasihat Kerajaan Robert Kuok berhubung kerjasama China-Malaysia pada masa depan.

Pada pertemuan selama satu setengah jam itu, Bai Tian bercakap mengenai sumbangan Kuok kepada pembangunan Malaysia dan perkembangan hubungan China-Malaysia.

"Kami berharap beliau akan terus menyumbang kepada pembangunan kerjasama China-Malaysia pada masa depan," katanya dalam kenyataan hari ini, sambil menambah kedua-duanya bersetuju bahawa kerjasama yang mesra akan menjadi kepentingan asas kepada kedua-dua negara.

Menurut kenyataan itu, Bai Tian dan Kuok percaya Malaysia, sebagai sebuah negara yang penting di sepanjang laluan sutera maritim abad ke 21 di bawah inisiatif Jalur dan Laluan, dijangka mendapat faedah daripada kerjasama yang saling memberi manfaat dan menang-menang dengan China.

"Mereka ingat hubungan dua hala yang baik semasa Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sebelum ini, dan yakin dalam tempoh kerajaan baharu, hubungan China-Malaysia akan mencapai kemajuan yang lebih baik," katanya.

-- BERNAMA