Kerajaan bersetuju untuk melaraskan kadar duti eksais bagi kenderaan pacuan dua roda (2WD) dan empat roda (4WD) berkapasiti enjin tidak melebihi 1,500cc kepada 60 peratus berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan media pada Selasa, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Subromaniam Tholasy berkata pelarasan daripada 65 peratus sebelum ini, dibuat selepas mengambil kira permintaan tinggi rakyat terhadap kenderaan import dipasang siap sepenuhnya (CBU).

"Dalam tempoh peralihan sementara bagi membolehkan pindaan itu diwartakan dan berkuat kuasa mulai 13 April 2017 (Rabu), langkah untuk memberi pengecualian duti eksais yang melebihi 60 peratus akan diberikan bagi kenderaan-kenderaan terlibat.

"Melalui langkah ini, harga kenderaan kepada pembeli perlu dikekalkan dan syarikat pengeluar tidak boleh menaikkan harga atas alasan kenaikan kadar duti eksais yang telah diwartakan melalui Perintah Duti Eksais 2017 pada 31 Mac, 2017," katanya.

Sebelum ini, JKDM dalam Warta Kerajaan Persekutuan mewartakan duti eksais untuk kenderaan pelbagai guna (MPV), ken-de-raan utiliti sukan (SUV) dan van berkapasiti 1.5 liter ke bawah dinaikkan sebanyak lima pe-ratus daripada 60 peratus kepada 65 peratus berkuat kuasa 1 April, 2017.

-- BERNAMA