Khabar angin mengenai majlis pertunangan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dengan bekas calon PRK Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud yang tular hari ini seakan benar-benar berlaku.

Sinar Harian cuba menghubungi Dyana sekitar jam 1.50 petang tetapi nombor yang dihubungi dijawab oleh seorang lelaki.

Lelaki itu memaklumkan Dyana tidak boleh bercakap dengan sesiapa ketika ini sebelum mematikan panggilan tersebut.

Wakil kedua-dua keluarga bertemu pada majlis pertunangan. - Foto Pembaca Astro AWANI

Panggilan turut dibuat kepada ibu Dyana, Yammy Samad namun panggilan dimatikan sebaik sahaja diangkat.

Berita pertunangan ini tular di laman Facebook apabila seorang individu mengucapkan tahniah kepada pasangan itu yang didakwa akan bertunang hari ini.

Individu itu juga menyatakan kegembiraannya malah menurut kenyataannya, melalui pertunangan itu, tiada yang perlu disembunyikan atau dinafikan berhubung isu gambar serta video yang menjadi isu hangat beberapa tahun lalu.