Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yakin Tun Dr Mahathir Mohamad akan memenuhi janjinya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dipersetujui sebelum ini.

"Pastinya apa yang Tun (Dr Mahathir) katakan telah ada persefahaman dengan Datuk Seri (Anwar) dan Tun akan memenuhi janji-janji yang telah dibuat.

"Saya sebagai sebahagian pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikan perjanjian itu dan saya yakin Tun akan lakukan seperti mana yang beliau katakan, jadi tiada masalah, sampai waktunya kita akan tahu nanti," katanya.

Pengarah Strategi jawatankuasa pimpinan nasional Parti Amanah Negara itu berkata demikian kepda pemberita selepas melakukan tinjauan mesra promosi tempat makan sebagai kawasan larangan merokok yang berkuatkuasa di seluruh negara bermula 1 Januari.

Pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hujung minggu lalu, beberapa perwakilan parti itu dilaporkan mencadangkan supaya Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya sehingga PRU-15 akan datang, bukan hanya bagi tempoh dua tahun.

-- BERNAMA