KUALA LUMPUR :Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan  (EAIC) kini telah membuka kertas siasatan terhadap insiden membabitkan kehilangan suspek utama kes pengubahan wang haram yang mendalangi sindiket penipuan 'Macau Scam', ketika dalam proses serahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada polis baru-baru ini.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Sidek Hassan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat berkata, pihaknya memandang serius insiden terbabit dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

“EAIC memandang serius kes suspek melarikan diri dan punca yang menyebabkan ia boleh berlaku. EAIC sedang mengambil tindakan sewajarnya bersesuaian dengan peruntukan di bawah Akta 700,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Kes itu jelasnya akan disiasat di bawah Seksyen 28 Akta 700 di mana ia memperuntukkan suruhanjaya itu untuk memulakan siasatan berdasaarkan inisiatif sendiri disebabkan mempunyai kepentingan terhadap orang awam.

Suruhanjaya itu juga, tambah Mohd Sidek, akan memaklumkan tindakan selanjutnya yang akan diambil nanti.

Dalam kejadian pada Isnin lalu, suspek tersebut dikatakan melarikan diri dengan bertindak memanjat pagar ketika berada di dalam kawasan SPRM.

Kejadian tersebut menjadi sindiran dengan teka-teki satira oleh netizen di media sosial yang mempersoalkan bagaimana ia boleh berlaku.