Ahli Exco Kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah menafikan dakwaan beliau menawarkan sejumlah ganti rugi kepada dua penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana telah dihalang sepasang suami isteri daripada melaksanakan tugas mereka.

"Terdapat satu artikel dalam blog 'Negara Pakatan Rakyat' yang mendakwa perkara ini.

"Saya dapati ia merupakan dakwaan yang tidak berasas dan satu fitnah kepada saya," kata Ean Yong.

Ean Yong menegaskan beliau tidak pernah berjumpa pasangan terbabit dan beliau menganggap dakwaan ini dibuat oleh musuh-musuh politik yang ingin memberi persepsi negatif terhadap Kerajaan Selangor.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis terhadap pemilik blog tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pagi tadi.

Turut hadir bersama Ean Yong ialah Ahli Majlis MBSA S.V. Raidu dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

Sebelum ini tersebar kenyataan menerusi aplikasi Whatsapp menyatakan MBSA atas arahan kerajaan negeri, telah diminta untuk mengarahkan anggota penguatkuasanya menarik balik laporan polis yang dibuat dan mereka wajib mematuhi arahan tersebut atau tindakan tatatertib dikenakan./

Pihak MBSA sudah menafikan mereka menerima arahan tersebut.