Sebanyak RM20.37 bilion telah dibayar kepada syarikat China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bagi pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sehingga 13 Julai lepas.

Menurut Kementerian Pengangkutan, bayaran itu membabitkan kerja-kerja awalan seperti siasatan tanah, kerja ukur, reka bentuk, yuran jururunding dan jurutera pemeriksa bebas.

"Selain itu, bayaran bagi kerja-kerja sivil juga telah dibuat seperti kerja-kerja terowong, pembersihan tanah dan penambahbaikan tanah)," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis sebagai menjawab pertanyaan lisan oleh Wong Chen (PH-Subang) di sidang Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau bertanyakan mengenai jumlah dan penerima bayaran bagi projek ECRL sebelum penangguhannya selepas Pilihan Raya Umum (PRU14) serta selepas ia disemak serta dilancarkan semula.

Menurut kementerian, kesemua bayaran yang telah dibuat itu akan diambil kira dalam kos siling yang ditentukan oleh kerajaan selepas jajaran projek ECRL dimuktamadkan dan tertakluk kepada pengesahan dalam akaun akhir.

Selepas projek ECRL digantung pada 3 Julai 2018 hingga 12 April 2019, rundingan semula dengan pihak Kerajaan Republik Rakyat China telah dilaksanakan oleh kerajaan ketika itu dan diketuai oleh Tun Daim Zainuddin selaku utusan khas Perdana Menteri.

Projek ECRL yang dianggarkan berjumlah RM44 bilion, dimiliki oleh Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan yang merupakan pemilik projek tersebut.

CCCC telah dilantik sebagai kontraktor utama projek ini susulan pemeteraian perjanjian kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan projek ECRL dengan syarikat berkenaan.

-- BERNAMA