Tutup

ECRL: Tun M tidak tahu status terkini kontrak CCCC

ECRL: Tun M tidak tahu status terkini kontrak CCCC
Pada 4 Julai 2018, CCCC berkata semua kerja membabitkan ECRL dengan jajaran sepanjang 688.3km digantung berkuat kuasa serta-merta. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu status terkini kontrak yang sebelum ini dianugerahkan kepada China Communication Construction Company Ltd (CCCC) untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), sama ada ia sudah ditamatkan atau tidak.

Beliau menjelaskan, baru sahaja pulang dari lawatan kerja di luar negara dan tidak tahu mengenai isu berkenaan penamatan kontrak berkenaan.

"Saya tidak tahu sudah tamat (kontrak) atau tidak.

"Salah satu cara kita menangani masalah ialah dengan menamatkan kontrak, tetapi apabila kita tamatkan kontrak, kita kena bayar pampasan.
"Kita akan bincangkan perkara ini,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Skim Perlindungan B40 mySalam, di Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan, tiga menteri Kabinet tidak tahu-menahu berhubung dakwaan penyingkiran syarikat China itu sebagai kontraktor untuk projek ECRL.
Portal itu menjelaskan, tiga menteri berkenaan memberitahu, perkara itu tidak dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet minggu lalu.

CCCC menerusi kenyataan media pada 4 Julai tahun lalu menjelaskan, semua kerja membabitkan ECRL dengan jajaran sepanjang 688.3 kilometer (km) digantung berkuat kuasa serta-merta.
  
Firma berpangkalan di China selaku kontraktor utama projek mega itu mengesahkan menerima notis untuk menggantung semua kerja projek ECRL daripada pemilik syarikat berkenaan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).
  
Arahan penggantungan itu susulan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa kos sebenar projek ECRL menjangkau RM81 bilion, berbanding RM66 bilion seperti dilaporkan sebelum ini.
  
Dr Mahathir pada 22 Oktober lalu, dilaporkan berkata, keputusan kerajaan membatalkan beberapa projek mega adalah disebabkan kekangan kewangan serta dijangka dapat menjimatkan kos menjangkau RM300 bilion.
  
Beliau berkata, antara projek yang dibatalkan merangkumi ECRL, Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur - Singapura (HCR).