Budaya menekankan aspek 'kejantanan' dalam kalangan lelaki di Malaysia menjadi antara punca penurunan jangka hayat lelaki di Malaysia.

Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, kesan tingkah laku lelaki dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan mencetuskan jurang kesihatan lelaki yang amat serius.

"Kadang-kadang lelaki ini malu dan tidak mahu bersembang berkaitan hal kesihatan diri.

"Jadi, kebanyakan lelaki lebih selesa untuk berbincang hal kesihatan mereka bersama kawan-kawan tanpa merujuk kepada perkhidmatan kesihatan," katanya dalam sidang media selepas mewakili Menteri Kesihatan merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Lelaki Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia pada Selasa.

Jelasnya, kemudahan perkhidmatan kesihatan di Malaysia amat mesra lelaki, namun sikap tidak ambil peduli atau menafikan masalah kesihatan hanya menjadikan keadaan lebih parah.

Menurut kajian, golongan lelaki di Malaysia kini terdedah dengan pelbagai risiko kesihatan dan penyakit termasuk jangka hayat lebih pendek iaitu 72.6 tahun berbanding 77.2 tahun bagi wanita.

Selain itu, antara penyakit yang paling banyak membunuh lelaki di Malaysia adalah penyakit jantung, tekanan darah tinggi serta kemalangan jalan raya.

Kementerian Kesihatan Malaysia turut mengumumkan tarikh 19 November setiap tahun diumumkan sebagai Hari Lelaki Sedunia dan mesej bagi sambutan tahun ini ialah 'Lelaki: Hargailah Kesihatan Anda, Lakukan Pemeriksaan Kesihatan di Klinik Kesihatan Yang Berhampiran'.