Ekonomi negara diyakini terus kukuh bagi suku pertama tahun ini - Guan Eng

Ekonomi negara diyakini terus kukuh bagi suku pertama tahun ini - Guan Eng
Guan Eng berkata, prestasi pertumbuhan ekonomi bagi suku keempat tahun lalu memuaskan, malah lebih baik berbanding suku ketiga. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yakin ekonomi negara akan terus kukuh bagi suku pertama tahun ini, selepas merekodkan pertumbuhan lebih baik dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku keempat tahun lalu.

Menurut Guan Eng pertumbuhan lebih baik direkodkan bagi suku keempat 2018 itu akan menjadi landasan kukuh biar pun bakal berdepan situasi ekonomi global yang semakin mencabar.
"Kami berharap pertumbuhan itu dapat diteruskan namun ia mungkin sedikit mencabar dan bergantung kepada keadaan ekonomi semasa," katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Persendirian di sini, pada Khamis.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, hari ini mengumumkan KDNK negara berkembang 4.7 peratus pada suku keempat tahun lalu, menjadikan pertumbuhan ekonomi keseluruhan sebanyak 4.7 peratus pada 2018.

Guan Eng berkata, prestasi pertumbuhan ekonomi bagi suku keempat tahun lalu memuaskan, malah lebih baik berbanding suku ketiga, terutama ketika pertumbuhan ekonomi negara lain mengalami penurunan.