Eksport minyak sawit Malaysia dilihat berpontesi besar untuk dikembangkan ke pasaran baharu seperti Pakistan, Turki dan Iran berikutan penggunaannya yang tinggi di negara-negara berkenaan.

Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata semasa misi minyak sawit, ekonomi, promosi dan pelaburan kementerian itu di ketiga-tiga negara tersebut baru-baru ini, didapati bahawa penggunaan minyak sawit di Karachi melebihi satu juta tan metrik, Istanbul 700,000 tan metrik dan Tehran 600,000 tan metrik.

Beliau berkata, usaha meneroka pasaran baharu itu dilihat membuka jalan bagi mengembangkan pasaran minyak sawit di kawasan baharu.

"Ini juga merupakan usaha kita untuk menghalang tindakan Eropah yang bersungguh-sungguh dengan usaha mereka melakukan diskriminasi terhadap minyak sawit ini.

"Saya percaya dengan strategi sedang dilakukan kementerian di dalam dan luar negara selain melibatkan pemain-pemain industri di sana, kita berharap ada peningkatan pembelian minyak sawit serta produk hiliran lain," katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri Pesta Ponggal anjuran Angkatan Muda Keadilan Hang Tuah Jaya di Peringgit di sini, pada Sabtu.

Shamsul berkata, kementerian tersebut juga sedang menggiatkan kempen' Sayangi Minyak Sawitku' yang dilancarkan pada Januari lepas bagi memastikan penggunaan bahan itu digunakan secara maksimum berikutan setakat ini hanya 70 peratus minyak sawit digunakan oleh penduduk di Malaysia.

Menurutnya, kerajaan akan menggiatkan lagi usaha dan melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran serta kefahaman masyarakat untuk mencapai sasaran 100 peratus penggunaan minyak sawit dalam kalangan rakyat.

--BERNAMA