Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan semua sekolah di Kedah dan Perlis ditutup pada pada Khamis, 31 Mac susulan fenomena El Nino dan gelombang haba di kedua-dua negeri itu.

Bagi negeri Perlis, penutupan sekolah dilanjut sehingga Jumaat (1 April).

"Pemantauan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap cuaca kering dan panas yang sedang melanda negara sekarang mendapati beberapa daerah dan kawasan, khususnya di utara semenanjung sehingga hari ini (30 Mac 2016) mencatat bacaan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius pada satu-satu masa, setiap hari dan melebihi 72 jam," ujarnya.

Penutupan yang diambil sebagai langkah penjagaan kesihatan murid semasa cuaca panas itu melibatkan sejumlah 853 buah sekolah iaitu 232 buah sekolah menengah dan 621 buah sekolah rendah.

Jumlah murid terlibat adalah seramai 413,786 orang iaitu 397,832 orang murid sekolah menengah dan rendah serta seramai 15,954 orang murid prasekolah.

"Penutupan itu hanyalah melibatkan ketidakhadiran murid-murid sahaja, dan penutupan tersebut juga adalah tidak perlu diganti," ujarnya.

Sementara operasi pentadbiran sekolah, kecuali aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) murid, berjalan seperti biasa.

Semua guru dan kaki tangan sekolah hendaklah hadir ke sekolah masing-masing dan bertugas seperti biasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab seperti mesyuarat, merancang PdP termasuklah tugas-tugas rutin dan lain-lain tugas yang tidak melibatkan murid-murid.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat di Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang pada rabu.

Baru-baru ini, KPM turut mengumumkan semua sekolah di Kedah dan Perlis ditutup selama dua hari pada 22 hingga 23 Mac lepas ekoran cuaca panas dan gelombang haba melebihi 37 darjah Celsius.