Cuaca panas di Kedah antara 37 dan 39 darjah Celsius akibat fenomena El Nino, tidak menjejaskan terumbu karang di taman laut seluas 188.13 kilometer persegi di negeri ini.

Pengarah Jabatan Taman Laut Kedah, Muhammad Nur Ashry Bassari berkata setakat ini belum ada proses pelunturan karang yang dikesan berlaku di sekitar Taman Laut Pulau Payar yang terdiri daripada Pulau Payar, Pulau Lembu, Pulau Kaca dan Pulau Segantang.

Beliau berkata, proses kelunturan karang hanya akan berlaku apabila suhu permukaan laut berada pada paras 30 darjah Celsius ke atas, bagi tempoh enam hingga lapan minggu.

Bagaimanapun, Muhammad Nur Ashry berkata hasil pemantauan kakitangannya mendapati suhu masih berada di paras normal, iaitu 29 darjah Celsius.

"Ini merupakan suhu normal untuk terumbu karang hidup dengan sihat. Itupun kita ambil pada pukul 1 tengah hari.

"Kami juga meminta operator pelancongan memantau dan memaklumkan kepada kami jika melihat kelunturan karang sebab mereka juga ada penyelam dan pergi ke banyak tempat," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Kurangkan ancaman

Pelunturan batu karang secara besar-besaran di Malaysia direkodkan berlaku pada 2010 hingga memaksa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, melalui Jabatan Taman Negara Malaysia, mengambil keputusan menutup 12 daripada 83 kawasan menyelam di taman laut.

Ini bagi mengurangkan ancaman yang berpunca daripada manusia terhadap terumbu karang dan untuk membolehkannya pulih secara semula jadi.

Taman Laut di Kedah menerima kehadiran kira-kira 120,000 pengunjung dari dalam dan luar negara setiap tahun dengan kawasan di Pulau Payar menjadi tumpuan utama.

Kelunturan karang atau coral breaching berlaku apabila alga simbiotik iaitu zooxanthellae yang terdapat pada karang dan berfungsi memberi pigmen warna dan nutrien pada karang mati.

Ia seterusnya mengakibatkan perubahan warna pada jaringan karang daripada warnanya yang kecoklatan menjadi putih pucat.

Muhammad Nur Ashry berkata menerusi program restorasi karang dari Jun hingga Nov 2015, pihaknya telah berusaha memulihkan karang jenis ranting yang telah patah.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya akan lebih kerap melakukan pemantauan memandangkan Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Nasional (NOAA) meramalkan suhu air laut meningkat sehingga 31 darjah celsius menjelang Mei ini.

Jika itu berlaku, katanya, ibu pejabat Jabatan Taman Laut negara akan mengaktifkan Jawatankuasa Tindakan Kelunturan Kebangsaan dan akan memanggil semua pakar dan wakil kawasan taman laut bagi menggariskan langkah untuk menangani masalah tersebut.