Hari Memperingati Permulaan Perang Dunia Kedua yang ke-80 seharusnya menjadi simbol bagi mengelakkan dunia terjerumus ke dalam konflik yang lebih dahsyat.

Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay berkata, konflik hanya akan membawa lebih ramai dari golongan masyarakat yang akan terjerumus kepada kesan yang lebih buruk termasuk mengalami masalah mental.

"Adalah wajar untuk kita memperingati mereka yang telah berkorban nyawa tetapi jangan dilupa juga mereka yang mengalami kecederaan. Pada masa lalu mereka yang cedera dalam peperangan tidak mungkin dapat bertahan.

"Tetapi dengan kemajuan teknologi perubatan dan pemindahan mangsa, kadar survival dalam konflik adalah jauh lebih tinggi. Oleh itu, kita dapat lihat hari ini ramai yang telah tamat berkhidmat dan kurang upaya.

"Juga jangan kita lupakan mereka yang terkesan dengan cara yang tidak kelihatan. Kesan psikologi perang mula difahami dalam Perang Dunia Pertama, ketika itu digelar shellshock," katanya semasa berucap pada Majlis Hari Memperingati Permulaan Perang Dunia Kedua yang ke-80 di Tugu Negara pada Ahad.

Hari Peringatan itu diadakan pada 11 November setiap tahun di United Kingdom dan negara-negara Komanwel untuk mengingati akhir Perang Dunia Pertama pada 1918.

Ia juga cara untuk mengingati anggota tentera yang telah meninggal dunia semasa bertugas.

Dalam pada Charles turut memberitahu, ahli keluarganya juga adalah antara terkorban semasa Perang Dunia Pertama.