Pelancong asing dinasihatkan untuk mengelak kawasan gelap dan lorong belakang di kawasan sekitar Bukit Bintang.

Nasihat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu disasarkan kepada pelancong-pelancong dari China yang merupakan antara segmen terbesar pelancong asing di negara ini.

"Terima kasih Bukit Bintang. Nampaknya Bukti Bintang prihatin terhadap pelancong-pelancong yang datang ke kawasan itu. Tapi tolong elakkan lorong-lorong belakang dan kawasan gelap," kata beliau sambil tersenyum dengan disahut oleh ahli-ahli Parlimen yang lain.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan yang dikemukan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang untuk mengecualikan visa kepada pelancong China oleh kerana jumlah pelancong dari negara itu kurang daripada 1 juta orang pada tahun lalu.

Tambah Ahmad Zahid, cadangan itu tidak dilaksanakan oleh kerana Kerajaan China mahu rakyatnya didaftarkan di dalam sistem Malaysia.

"Kami telah melaksanakan sistem ini tetapi kerajaan China meminta supaya pelancong-pelancong China turut didaftarkan dengan sistem kita walaupun tanpa visa.

"Kita bekerjasama dengan mereka (Kerajaan China) apabila pelancong-pelancong mereka yang datang ke negara kita, pihak berkuasa China perlu tahu.

"Ini kerana mereka hanya diberi visa selama 15 hari dan harus pulang ke negara asal mereka," ujarnya.

Tambah Ahmad Zahid, Duta China ke Malaysia juga telah mengambil langkah proaktif bersama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk membawa masuk 3 juta pelancong dari China ke Malaysia.

Selain itu, Malaysia juga telah melaksanakan visa elektronik kepada 10 negara yang mana para pelancong hanya perlu mohon atas talian dan mencetak sendiri visa diluluskan dalam tempoh 48 jam selepas permohonan.

Setakat semalam, sejumlah 734,364 visa telah dikeluarkan.