Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka sewaktu musim panas dan kering yang melanda beberapa kawasan negara pada masa kini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang dikeluarkan pada Jumaat, sebanyak dua titik panas kebakaran dikesan dalam negara iaitu di Pahang dan Terengganu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi mana-mana pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

"Di bawah peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mana-mana pihak yang didapati melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM2,000 atau jika disabitkan kesalahan di mahkamah, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu malam.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata berdasarkan laporan ASMC, negara-negara di utara rantau ASEAN iaitu di Thailand, Myanmar, Cambodia, Laos dan Vietnam sedang mengalami musim panas dan kering, dengan taburan titik-titik panas kebakaran yang tinggi tertumpu di Myanmar iaitu sebanyak 82 titik panas.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa keadaan jerebu yang berlaku di rantau negara-negara itu tidak membawa jerebu ke negara ini berikutan arah pergerakan angin pada masa kini tidak menghala ke Malaysia.

Bagi negara-negara selatan ASEAN pula seperti Sumatera dan Kalimantan di Indonesia serta juga Malaysia, jelasnya, bilangan titik panas kebakaran dilaporkan masih rendah disebabkan hujan yang kerap berlaku semasa fasa peralihan monsun.

Wan Junaidi menarik perhatian bahawa kejadian jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka secara tidak terkawal di Indonesia lazimnya berlaku semasa musim panas dan kering Monsun Barat Daya bermula bulan hadapan sehingga September setiap tahun.

"Bagaimanapun, tiada kejadian jerebu rentas sempadan yang diperhatikan dan tiada titik panas kebakaran dikesan di Sumatera dan Kalimantan," katanya.

Tambahnya, orang ramai diminta bekerjasama memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727.

- BERNAMA