Mentaliti 'tidak akan berlaku pada diri sendiri' menjadi antara pendorong penyakit berkaitan jantung kian meningkat dalam masyarakat di negara ini.

Naib Presiden Yayasan Jantung Malaysia, Datuk Prof Sulaiman Osman berkata, apa yang lebih menarik, mentaliti yang dikaitkan dengan sindrom penafian atau in denial itu turut melibatkan golongan profesional termasuk pakar perubatan.

"Doktor yang merawat orang sakit pun ramai yang ada sindrom ini, apatah lagi masyarakat biasa. Bagi golongan profesional, alasan utama adalah mereka 'rasa' sihat' namun hakikatnya golongan ini paling terdedah kepada risiko tekanan dan tidak mempunyai masa untuk bersenam.

"Lama-kelamaan, sindrom ini bagaikan bom jangka dalam diri mereka yang akhirnya menyebabkan mereka mengalami serangan jantung atau angin ahmar kerana gagal mendapatkan rawatan lebih awal.

"Perlu ada pemikiran yang kita mungkin kena penyakit dan itu membuatkan kita bertanggungjawab sepenuhnya pada kesihatan diri sendiri dengan cara aktif bersenam dan menjaga pemakanan. Jangan sampai kena serangan jantung, baru nak menyesal," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis, The KL World Heart Day 2019 - Go Red For Women (GRFW), di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah GRFW, Ainon Kuntom berkata, Kempen GRFW yang dilaksanakan melalui Yayasan Jantung Negara Malaysia dengan kerjasama Asia World Event dan KL City Art Gallery merupakan kempen kesedaran antarabangsa yang didedikasi khas untuk pencegahan, diagnosis dan kawalan penyakit kardiovaskular pada wanita.

"Aktiviti yang dijalankan adalah forum kesihatan, pemeriksaan dan saringan kesihatan, zumba serta pameran. Cuma istimewanya hari ini, ia turut melibatkan aktiviti seni seperti melukis bagi menghilangkan tekanan," katanya.

Kempen julung kali tersebut dihadiri lebih 100 peserta dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah bagi memberi peluang kepada wanita memahami pengurusan rumah tangga dengan lebih baik dari segi kesihatan dan kewangan, memandangkan mereka merupakan tunjang utama dalam sesebuah keluarga. - BERNAMA