Elaun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan dikaji semula demi menjaga kebajikan anggota dan keluarga masing-masing.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kali terakhir elaun itu dikaji semula ialah pada tahun 2012.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat.

"Itu telah kita cadangkan iaitu dua kadar, untuk pegawai sekarang ini RM7.80 (sejam), kita cadangkan naik RM9.80.

"Satu lagi anggota biasa dari RM6 ke RM8," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Rela Ke-47 Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 di sini, pada Selasa.

Tema sambutan pada tahun ini adalah "Dari Rakyat, Bersama Rakyat, Untuk Rakyat".

Ia terjemahan terhadap peranan dan fungsi warga Rela yang ditubuhkan pada 11 Jan 1972 untuk menjaga keselamatan dan harmoni negara.

Dalam pada itu, jelas Muhyiddin, penubuhan Briged Rela Siswa Siswi (Relasis) di 29 institusi pengajian tinggi awam dan swasta merupakan inisiatif untuk melebarkan jaringan aktiviti kesukarelawanan berteraskan keselamatan kepada anak-anak muda.

Pada majlis sama, Muhyiddin turut melancarkan aplikasi MyRELA Mobile 2.0 dan e-Penugasan RELA sebagai kemudahan kepada anggota dan masyarakat untuk mendapatkan informasi terkini dengan lebih pantas.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan Insurans RELA berjumpah RM32,500 kepada waris Allahyarham Noor Azizah Abdul Aziz iaitu anggota Rela Daerah Kuala Langat yang meninggal dunia kerana kemalangan sewaktu bertugas pada 28 Julai tahun lalu.