Susulan gempa yang melanda Sabah baru-baru ini, sebuah syarikat yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan projek pembinaan empangan hidroelektrik di Sarawak memberi jaminan bahawa projek di bawah kendalian mereka adalah selamat dan mampu bertahan dalam gempa yang lebih besar.

Sarawak Energy dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI memaklumkan bahawa ia mengguna pakai tahap piawaian yang paling teliti dalam pembangunan semua projek hidroelektriknya bagi memastikan isu integriti dan keselamatan terkawal.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak syarikat telahpun melantik sebuah institut dari Australia iaitu Pusat Kajian Seismologi Victoria sejak tahun 2009 untuk menjalankan kajian aktiviti seismik di rantau ini bagi penilaian bencana.

“Kajian penilaian bencana seismik berdasarkan projek juga telah dilakukan sebagai sebahagian daripada proses reka bentuk akhir.

“Ini adalah untuk menentukan kemungkinan kejadian gempa bumi dalam jarak spesifik dari tapak projek. Semuanya dilakukan sebelum proses reka bentuk dan pembinaan projek,” ujar kenyataan daripada Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Torstein Dale.

Tambahnya, susulan kebimbangan yang timbul akibat bencana gempa di Sabah baru-baru ini, Sarawak Energy akan memastikan setiap maklumat terkini diambil kira dalam kajian khusus dan keputusannya akan digunakan dalam reka bentuk akhir projek.

“Sarawak Energy memberi jaminan kepada rakyat Sarawak bahawa projek-projek tenaga hidro syarikat kami direka berdasarkan piawaian teknikal antarabangsa tertinggi bagi reka bentuk empangan.

Maklum balas tersebut adalah sebagai jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan bekas Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Sabah Alexander Yan yang mendakwa tapak projek empangan Baram berada dekat dengan dua garisan sesar, seperti yang dilaporkan Borneo Post.

Menurutnya, stesen-stesen janakuasa hidro tidak patut dibina di atas garisan sesar yang boleh menyebabkan gempa bumi.

“Projek-projek janakuasa hidro kami adalah mengikut garis panduan Jawatankuasa Antarabangsa Empangan-Empangan Besar (ICOLD) International Committee on Large Dams (ICOLD).

“Walaupun terletak di kawasan seismik rendah, empangan-empangan kami di Sarawak (termasuk Batang Ai, Bakun, Murum, Baram dan Baleh) dibina untuk bertahan dalam impak gempa yang secara bandingannya lebih besar daripada yang telah direkodkan di Sabah,” ujar Dale.

Tambahnya, siasatan bagi setiap projek empangan termasuk Baram melibatkan proses mengenal pasti sebarang garisan sesar atau zon tekanan di kawasan tersebut, selain mengambil kira semua hasil kajian termasuk kerja-kerja pemetaan dan siasatan struktur tanah.