Empat lelaki disyaki anggota sindiket along ditahan beberapa jam selepas mereka dilaporkan memukul seorang peminjam hingga menyebabkan lelaki itu cedera di kepala dalam kejadian di Bagan Ajam, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata kejadian dilaporkan berlaku pada 2 petang apabila juruelektrik berusia 34 tahun itu memberhentikan kereta dipandunya di tepi jalan di Bagan Ajam selepas kehabisan minyak.

"Lelaki itu berjalan membeli minyak di stesen minyak berhampiran dan semasa dalam perjalanan pulang ke keretanya dia dihampiri empat lelaki menaiki sebuah kenderaan dan bertanya mengenai wang pinjaman RM2,000 yang dipinjam daripada ah long.

"Mangsa memberitahu telah membayar wang pinjaman itu dan sekarang sedang cuba menyelesaikan bunganya namun mereka terus memukul lelaki berkenaan menggunakan kayu serta ditumbuk beberapa kali di kepala serta badan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa berjaya melarikan diri sebelum meminta bantuan orang ramai yang berada di kawasan itu untuk membuat laporan polis manakala empat lelaki yang memukulnya beredar selepas melihat ramai orang membantu juruelektrik tersebut.

Noorzainy berkata susulan kejadian itu, polis menahan empat lelaki berusia 18 hingga 25 tahun pada 8.30 malam hari kejadian di sebuah rumah yang dijadikan lokasi sindiket pinjaman wang haram tersebut yang beroperasi di Bagan Ajam.

"Polis turut merampas pelbagai telefon bimbit, kad ATM peminjam, buku akaun, wang tunai RM759, kad perniagaan serta dua batang kayu rotan yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Siasatan mendapati sindiket itu beroperasi sejak awal tahun ini dan bertindak mencederakan peminjam yang gagal membayar hutang mereka," katanya.

Beliau berkata empat lelaki yang mempunyai pelbagai rekod jenayah itu kini direman lima hari dan polis sedang mengesan beberapa lagi anggota sindiket terbabit termasuk dalangnya.

-- BERNAMA