Empat beradik antara 21 individu yang ditahan ketika operasi cegah dadah yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada Selasa.

Adik-beradik berkenaan ditahan di Kampung Bukit Sera dekat sini ketika sedang leka melepaskan gian di rumah mereka.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, mereka yang berumur antara 28 dan 42 tahun itu tinggal bersama ibu dan dua kakak.

"Kami turut menggempur tujuh lokasi lain antaranya Taman Ria Jaya, Flat Paya Nahu dan Taman Nilam, Sungai Petani.

"Operasi kali ini telah berjaya menahan 21 orang terdiri daripada 20 lelaki dan seorang wanita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MenurutArnida, mereka yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk menjalani ujian saringan awal air kencing.

Hasil ujian, didapati 17 orang yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine dan morphine.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.