Empat individu berputih mata kerana tak sempat merasa hasil rompakan mereka selepas ditahan polis di sebuah hotel di Kemayan Square dalam tempoh dua jam selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Merpati, kelmarin.

Ketua Polis daerah Seremban, Asisten Komisioner, Thiew Hock Poh, berkata, suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 22 hingga 47 tahun menjadikan rumah dan kereta mewah sebagai sasaran melakukan jenayah.

“Suspek sebelum itu memecah masuk sebuah rumah di Taman Merpati kira kira jam 3.15 petang kelmarin sehingga menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM350,000.

“Bertindak atas maklumat, kita berjaya menjejaki suspek di sebuah hotel pada hari sama dan penahanan dua lelaki di laluan hotel membawa kepada penemuan barangan dan hasil pecah rumah di dalam bilik hotel bersama dua lagi suspek di dalamnya,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah Seremban, semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut menemui jam tangan, resit barang kemas, rantai keemasan, subang dan wang tunai melebihi RM200,000.

“Polis juga menemui sebuah dron yang dipercayai digunakan untuk mengintip lokasi yang disasarkan.

“Turut dirampas tiga buah kenderaan iaitu sebuah Toyota Vellfire dan dua Honda City selain wang tunai lebih RM260,000 di dalam Toyota Velfire,” katanya.

Katanya, keseluruhan wang tunai yang dirampas dalam serbuan bekenaan dianggarkan bernilai lebih setengah juta.

Hock Poh berkata, modus operandi suspek ialah masuk melalui pondok pengawal kawasan rumah mewah lalu menunjukkan kad pengenalan orang lain dan masuk ke rumah yang disasarkan dengan membunyikan loceng.

“Sekiranya penghuni tiada, mereka akan masuk dengan umpil pintu depan.

“Kita percaya penahan suspek ini berjaya menyelesaikan kes pecah rumah sekitar daerah ini termasuk di beberapa negeri lain dengan jumlah keseluruhan 34 kes setakat ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, empat suspek termasuk seorang wanita didapati positif dadah.

“Mereka direman bermula semalam sehingga 20 November nanti.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.