Empat bersaudara terperangkap kira-kira 30 jam selepas menempuh fenomena kepala air di kawasan Hutan Simpan Cerul di sini pada Jumaat.

Ketika kejadian, semua mangsa memasuki hutan pada jam 7.30 pagi untuk menahan burung tetapi tidak dapat keluar kemudiannya kerana laluan mereka didapati tenggelam akibat kejadian kepala air.

Salah seorang mangsa, Kamal Bahrin Mohamad Samsir berkata, terkandas di dalam hutan merupakan satu pengalaman yang menakutkan kerana bimbang dengan ancaman keselamatan, terutamanya binatang buas.

"Lebih kurang pukul 7.30, kami masuk dalam (hutan). Kemudian dalam pukul 9 lebih, nak keluar balik, air dah penuh. Air dah melimpah.

"Tak boleh nak melintas. Tak boleh balik. Kami pusing balik, dan kemudian jumpa sebuah rumah kongsi balak. Kami duduk di situ, buat tempat berteduh," kata Kamal Bahrin.

Menurutnya, ketika berlindung di rumah kongsi yang ditinggalkan itu, mereka hanya mengalas perut dengan memakan buah limau purut yang terdapat di kawasan sekitar.

Kamal Bahrin berkata dia berjaya menghubungi keluarganya pada jam 9 pagi Sabtu dan meminta mereka menghubungi pihak bomba.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Cheneh, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hasbullah Halipah berkata, seramai 10 kekuatan dikerahkan selepas menerima panggilan pada jam 1.45 petang Sabtu.

Katanya, kesemua mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan kelaparan.

Tambahnya, pelbagai rintangan terpaksa dilalui bagi membawa keluar semua mangsa dari kawasan hutan itu.

"Semasa kita melalui jalan-jalan itu, sungai utama tiada masalah, tetapi apabila hendak memasuki hutan yang kecil itu, ada sedikit akar kayu. Itu menyukarkan kita untuk sampai ke lokasi.

"Tambahan pula, air sungai yang sedikit deras, dicampur dengan kayu-kayu dan akar-akar kayu, menyebabkan kesukaran," kata Mohd Hasbullah.

Operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa yang berasal dari Kampung Paman, Kemaman dihentikan sepenuhnya pada jam 7 petang Sabtu.