Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan penerbitan empat buku tulisan penulis kontroversi Faisal Tehrani kerana ia didapati mengandungi unsur-unsur penyebaran ajaran Syiah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Buku berkenaan ialah 'Sebongkah Batu di Kuala Berang' yang diterbitkan oleh PTS Litera Utama Sdn Bhd, 'Karbala' yang diterbitkan oleh Abeerden Books World, 'Tiga Kali Seminggu' dan 'Ingin Jadi Nasrallah' yang kedua-keduanya diterbitkan oleh Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN Hasmimah Nik Jaafar berkata buku-buku itu dikenakan Perintah Larangan Penerbitan berkuat kuasa 1 April kerana mengandungi unsur-unsur yang memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan.

Pewartaan Perintah Larangan itu adalah menurut seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Menurut subsyeksen 2 Seksyen 8 akta sama, mana-mana pihak yang didapati mencetak, mengimport, menjual dan memiliki buku-buku tersebut di dalam negara boleh dikenakan tindakan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.