Kerajaan Selangor diberi masa empat bulan sehingga Julai depan untuk bersetuju melaksanakan proses migrasi bagi mengelakkan krisis air di negeri itu menjadi lebih buruk.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata jika Selangor enggan memberi kata putus, banyak implikasi yang akan berlaku antaranya Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang telah siap menjalani proses pengujian dan pentauliahan tidak dapat digunakan.

"LRA dapat membekalkan 10 peratus margin simpanan air Selangor menyamai 565 juta liter sehari (MLD).

"Sedangkan di masa sekarang, margin simpanan air Selangor kosong dan ini bermakna bekalan air tidak cukup untuk disalurkan ke tempat-tempat yang lain. Apatah lagi di Selangor (penggunaan air) sangat tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Sesi Dialog Transformasi Nasional 50 (TN50) dan Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030 di Universiti Sains Islam Malaysia di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zaini berkata Selangor dan negeri lain yang tidak melaksanakan proses migrasi terpaksa menampung perbelanjaan tinggi untuk pembinaan loji, mengganti paip dan kerja penyelenggaraan lain.

Beliau berkata sekurang-kurangnya RM3 billion ke RM8 billion diperlukan bagi kos pembinaan LRA dan kerja-kerja baik pulih infrastruktur dan tiada syarikat yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sebanyak itu.

"Macam di Selangor, apa yang berlaku ialah mereka melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan kecil seperti menampal paip bocor.

"Sebab itu, apabila paip lama yang berusia lebih 40 tahun tidak diganti, menyebabkan ia pecah dan keadaan menjadi lebih teruk.

"Ini bukan masalah air semata, tetapi masalah margin simpanan air yang tidak mencukupi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zaini berkata kerajaan telah memperuntukkan RM1.9 bilion bagi membina Simpanan Air Dari Sungai (ORS) di empat negeri, dalam usaha memastikan bekalan air sentiasa dapat menampung keperluan dan menyokong pembangunan sesebuah kawasan.

"Dalam pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM400 juta untuk pembinaan ORS di Linggi, Negeri Sembilan, RM300 juta di Melaka dan masing-masing RM600 juta di Langkawi, Kedah dan Johor.

"ORS yang akan dibina di Linggi bagi menyokong pertumbuhan pesat Malaysia Vision Valley di kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata proses pelantikan perunding bagi projek ORS telah dimulakan dan dijangka proses pembinaan akan dimulakan tahun hadapan yang mengambil masa dua ke tiga tahun untuk disiapkan.

Seramai 1,000 peserta terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi dan kakitangan awam menghadiri dialog itu yang antara lain membincangkan cara-cara pengurangan pelepasan karbon.

-- BERNAMA