Tutup

Empat cedera, bas bawa 30 pekerja kilang terbabas

Empat cedera, bas bawa 30 pekerja kilang terbabas
Bas terbabit dilaporkan terbabas dan melanggar sebatang tiang TNB dan TM sebelum terjatuh ke dalam parit. - Foto Twitter/@bernamadotcom
MELAKA: Empat wanita pekerja kilang warga Indonesia cedera apabila bas yang mereka naiki terbabas ke dalam parit dalam kejadian di Jalan Bachang berhampiran Taman Widuri di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata ketika kejadian kira-kira 9 malam tadi bas yang membawa 30 pekerja sebuah kilang elektronik di Batu Berendam menghala ke Lorong Pandan di sini terbabas dan melanggar sebatang tiang TNB dan TM sebelum terjatuh ke dalam parit.

Jelasnya pemandu bas berusia 69 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala empat wanita itu telah dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
"Keadaan jalan ketika kejadian adalah kering, bentuk jalan lurus dan keadaan cuaca ketika kejadian adalah mendung dan belum hujan. Ketika proses pengalihan bas keadaan cuaca telah hujan.

"Tiga wanita itu telah dirawat di zon hijau hanya mengalami kecederaan ringan sakit-sakit badan dan telah dibenarkan keluar, manakala seorang lagi sedang dirawat di zon kuning mengalami kecederaan di bahagian leher dan terasa sakit di pinggang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Afzanizar berkata siasatan lanjut akan terus dijalankan bagi mengetahui punca kemalangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA



Tag: bas kilang, cedera, terbabas, Jalan Bachang, Taman Widuri, Afzanizar Ahmad, Hospital Melaka


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.