Empat pekerja syarikat penyelenggaraan rel kereta api cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan itu yang berlaku berhampiran stesen kereta api Chegar Perah di Lipis, kira-kira 300 kilometer (Km) dari sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor berkata kemalangan dipercayai berlaku pukul 9.30 pagi semasa kereta api milik syarikat swasta dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu sedang melakukan kerja baik pulih landasan di KM 206.75.

Katanya, sebuah daripada kereta api itu dalam perjalanan dari Stesen Chegar Perah ke Stesen Padang Tengku di Lipis, manakala sebuah lagi dari arah bertentangan.

"Mangsa, kesemua lelaki berusia antara 23 dan 41 tahun. Tiga daripada mereka cedera ringan manakala seorang lagi parah di bahagian kaki kerana difahamkan tersepit dalam sebuah daripada kepala kereta api.

"Bomba mengambil masa sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan kesemua mereka dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Azli berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pukul 10 pagi dan operasi menyelamat disertai lima pegawai dan 21 anggota terdiri daripada polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Operasi turut melibatkan 20 kakitangan KTMB dan enam kakitangan Kementerian Kesihatan.

-- BERNAMA