Empat dituduh di dua mahkamah berasingan hari ini atas tuduhan merogol dua gadis bawah umur dalam kejadian rogol beramai-ramai 20 Mei lalu.

Dalam pertuduhan pertama, dua lelaki mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan merogol dua remaja perempuan berusia 15 tahun dan 17 tahun di Mahkamah Sesyen di sini hari ini dalam kejadian yang membabitkan 21 suspek di sebuah rumah kosong di Ketereh, 20 Mei lalu.

Tertuduh Muhmed Azroel Hassan, 23, dan Azuan Che Hassan, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Noor Haslinda Che Seman.

Kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 13 Julai depan.

Mengikut pertuduhan kedua-dua tertuduh didakwa merogol dua remaja terbabit dengan kehadiran orang lain antara pukul 7.30 malam hingga 11 malam, 20 Mei lalu di sebuah rumah kosong di Kampung Hutan Pasir, Ketereh di sini.

Tertuduh didakwa mengikut seksyen 376 (2)(c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh berkenaan menghadapi dua pertuduhan rogol setiap seorang.

Manakala di Mahkamah Majistret Kota Bharu, dua remaja masing-masing berusia 15 dan 17 tahun di tuduh merogol dua remaja perempuan berusia 15 dan 17 tahun dalam kejadian membabitkan 21 suspek di sebuah rumah kosong di Kampung Hutan Pasir, Ketereh pada 20 Mei lepas.

Tertuduh pertama, remaja lelaki berusia 17 tahun bagaimanapun mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.

Namun remaja kedua berusia 15 tahun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dalam kejadian sama.

Kedua-duanya dituduh melakukan perbuatan itu dalam kehadiran orang lain di antara jam 7.30 hingga 11 malam di sebuah rumah kosong di Kampung Hutan Pasir, Ketereh pada 20 Mei lepas.

Tertuduh masing-masing menghadapi satu pertuduhan rogol.

Majistret Nik Habri Muhamad bagaimanapun menetapkan kes terbabit didengar semula di Mahkamah Sesyen pada 13 Julai ini.

Kedua-duanya dibenarkan diikat jamin dengan wang jaminan 3 ribu ringgit setiap seorang dengan seorang penjamin.

Jaminan diberikan kerana kedua-dua tertuduh yang masih lagi di bawah umur dan tertakluk kepada Akta Perlindungan Kanak-Kanak.

Sebelum ini media melaporkan dua remaja perempuan dirogol secara bergilir-gilir oleh 38 lelaki dalam kejadian di sebuah rumah kosong di Ketereh, 20 Mei lalu.

Namun semalam, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman menafikan dua remaja perempuan berusia 15 dan 17 tahun itu di rogol oleh 38 lelaki seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Katanya hasil siasatan mendapati hanya 21 orang terlibat dengan suspek berusia dari 15 hingga 38 tahun.

Katanya tujuh suspek yang masih bebas kini diburu polis dan kesemua mereka dipercayai berusia sekitar 20 tahun.

Dalam sesi pertuduhan di kedua mahkamah pagi tadi, keluarga remaja perempuan tidak kelihatan, namun beberapa ahli keluarga tertuduh di lihat turut berada di dalam kamar mahkamah.