Kerajaan menyediakan fasiliti perkhidmatan psikiatri di empat institusi mental dan 33 hospital kerajaan di seluruh negara.

Selain itu, sebanyak 761 klinik kesihatan juga memberi perkhidmatan kesihatan mental di peringkat kesihatan primer, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

"Kementerian Kesihatan (KKM) mewujudkan sebanyak 21 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) di seluruh Malaysia bagi memberi perkhidmatan saringan, pengesanan awal, rawatan dan rehabilitasi di peringkat komuniti.

"KKM juga menyediakan perkhidmatan kaunseling serta pendidikan keluarga untuk waris yang menghidap penyakit mental mengenai cara pengendalian penjagaan pesakit mental di rumah," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datin Rahimah Mahamad yang bertanya mengenai usaha kerajaan menangani masalah pesakit mental di negara ini.

Mengenai kes jenayah akibat amukan dan tindak balas agresif, Dr Hilmi menjelaskan bahawa tidak semua kes berkenaan disebabkan mereka yang menghidapi penyakit mental.

"Mengikut Akta Kesihatan Mental 2001 dan Peraturan Kesihatan Mental 2010, Klausa 11, Pegawai Polis atau Pegawai Kebajikan Masyarakat mempunyai kuasa untuk membawa individu yang disyaki mengalami gangguan mental mendapatkan penilaian di hospital kerajaan atau pun hospital swasta yang diwartakan jika individu tersebut didapati mengganggu atau bertindak balas agresif di persekitaran," katanya.

Buat masa ini, katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh merujuk individu yang disyaki mengalami penyakit mental ke mana-mana hospital kerajaan untuk dinilai dan dirawat. -- Bernama