Seorang lelaki terpaksa menanggung kesakitan lebih 30 minit apabila empat jari tangan kanannya tersepit pada mesin pengisar daging, di sebuah rumahnya, di sini, semalam.

Kejadian mengerikan itu berlaku ketika mangsa yang berusia 20 tahun sedang menjalankan kerja-kerja mengisar daging.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Penolong Penguasa Bomba Azmi Abbas berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Hospital Tanjong Karang pada jam 10 malam.

"Operasi itu diketuai komander operasi, Amiludin Mat Lazim bersama lapan anggota dikejarkan ke hospital berkenaan," katanya.

Azmi berkata pihaknya berjaya mengeluarkan jari mangsa kira-kira 15 minit kemudian selepas membuka komponen mesin berkenaan menggunakan alatan khas.

"Pegawai perubatan memberikan mangsa ubat penahan sakit ketika kami cuba mengeluarkan jarinya dari mesin itu.

“Selepas dikeluarkan, pihak kami mendapati empat jari mangsa mengalami kecederaan.

"Mangsa kemudian menerima rawatan lanjut daripada pihak hospital," katanya.